Thursday, June 7, 2012

Kitab Bible Pegangan Agama Kristian

1. Pengenalan

Kitab yang menjadi pegangan penganut agama kristian hari ini ialah 'The Bible'. Nama ini adalah dari istilah 'Biblia'  dalam bahasa Greek (Yunani) yang bermaksud 'buku'. Semenjak St. Jerome menterjemahkan Bible dari naskah-naskah Bahasa Greek kepada Bahasa Latin dan menghasilkan "The Vulgate" dalam Abad ke-4 (M), pihak gereja telah membenarkan hanya "The Vulgate" sahaja digunakan di seluruh Benua Eropah. Hal ini berlanjutan selama lebih kurang satu ribu dua ratus  (1200) tahun, iaitu pada zaman Eropah melalui zaman gelap di bawah kuasa Gereja Roman Katolik


The Vulgate


Keadaan berubah pada awal Abad ke-16 Masehi (AD), apabila Erasmus (dalam tahun 1615) telah menghasilkan Bahagian Perjanjian Baru dari Bible dalam bahasa Greek yang baru. Erasmus tidak mengambil bahan dari Vulgate untuk tujuan ini, tetapi adalah hasil dari beberapa bahan lama yang telah dikumpulkannya sendiri. Hasilnya ialah "Erasmus's Greek Version Of New Testament" yang menunjukkan banyak perbezaan dari Vulgate. Keadaan ini adalah salah satu fakta yang mendorong kepada permulaan pergerakan "Protestant" di Eropah dan pergerakan terjemahan dan pembaharuan kepada kitab Bible dalam pelbagai versi.

Versi Bible dalam bahasa Inggeris bermula dari usaha yang dilakukan oleh  William Tynedale yang mendapat bantuan dari Erasmus. Hari ini terdapat berpuluh-puluh versi Bible dan antara yang terdapat dalam bahasa Inggeris adalah seperti berikut :-

1. Tynedale Bible (1525)
    Berasaskan kepada Bible Text dalam Bahasa Jerman, iaitu terjemahan dari "Greek Version" yang
    dihasilkan oleh Erasmus. Usaha ini tidak pernah lengkap.

2. Coverdale Bible (1535)
    Berasaskan kepada Bible Text dalam Bahasa Jerman, Latin dan Tynedale Bible yang pertama
    diiktiraf dalam Bahasa Inggeris untuk acara Konvokesyen di "Centurbury".

3. Mathew's Bible (1537)
    Sedikit pembaharuan terhadap Tynedale yang menerima pembaharuan lagi dalam tahun 1538

4. The Great Bible (1539-1568)
    Bible ini telah dihasilkan dalam masa yang lama, hampir tiga puluh tahun dengan "review"
    sebanyak enam kali untuk tujuan bacaan mimbar (the pulpit)

5. The Geneva Bible (1560)
    Satu versi dari "The Great Bible" dengan perubahan untuk disesuaikan bagi bacaan orang awam.

6. The Bishop's Bible (1568)
    Edisi terakhir dari "The Great Bible" , dan hanya edisi kedua yang diiktiraf (authorized) oleh
    pihak Gereja

7. The Douay-Rheims Bible (1582-1609)
    [The Roman Catholic Bible -(RCB)]


   Terjemahan terus dari Vulgate; proses terjemahan mengambil masa dua puluh tujuh (27) tahun,
   digunakan oleh Gereja Roman Katolik hingga tahun 1990

8. King James Version (1611)
    Juga dinamakan Authorized Version (AV), pada hakikatnya ia adalah pembaharuan atas Tynedale
    dengan berasaskan kepada Vulgate, oleh itu ia juga pernah dianggap sebagai "Hybrid Bible", dan
    banyak digunakan oleh Protestan dan Katolik dalam negara-negara yang banyak menggunakan
    Bahasa Inggeris.

9. English Revised Version (1881-1885)
    Dalam masa ini terdapat beberapa pembaharuan ke atas King James Version, yang menghasilkan
    English Revised Version.

10. American Standard Version (1901)
      Pembaharuan atas King James Version.

11. The Challoner Bible (1900s)
      Dalam tahun-tahun sembilan puluhan berlaku banyak usaha pembaharuan kepada Douay-Rheims
      Bible (Roman Catholic), menghasilkan Challoner Bible.

12. Revised Standard Version (RSV) (1946-1952)
      Ia merupakan satu projek oleh "International Council of Religious Education" mewakili 40
      denominasi Mazhab Protestan di USA dan Canada.

13. New American Bible (1970)
      Dianggap sebagai satu kitab Bible yang lengkap diterjemah dari kitab asal Bahasa Hebrew dan
      Greek oleh pihak Gereja Roman Katolik Amerika.

14. The New King James Bible (1982)
      Pembaharuan ke atas King James untuk disesuaikan kepada istilah (vocabulary) yang
      kontemporari di Amerika.

15. The New Revised Standard Version (1989)
      Satu pembaharuan ke ats RSV untuk mengeluarkan bahasa lapuk.

16. The Jerusalem Bible (1966)
      Terjemahan dari "French Dominican Bible" ke dalam Bahasa Inggeris.

17. Today's English Version (1966-1976)
      Dihasilkan oleh "American Bible Society" dengan menggunakan "Idiomatic English".

18.  The New English Bible (1946)
       Di komisyen oleh Church of Scotland.

19. New International Bible (1973-1979)
      Pembaharuan ke atas Kitab Bible yang berasaskan kepada King James dan New American
      Standard Version oleh pihak-pihak yang konservatif pelbagai Mazhab Protestan di Amerika.

20. The Living Bible (1962-1971)
      Peralihan bahasa (paraphrase) ke dalam idiom Amerika moden.

21. The Anchor Bible (1964)
      Satu projek "interfaith" international, dengan lanjutan exposisi (exegesis)

22. The Good News Bible (1990)
      Versi Bible yang terbaru dengan mengandungi pelbagai perubahan dalam ayat-ayat tertentu.

23. Versi-versi Bible hasil terjemahan oleh pihak-pihak Individu dalam Abad ke-20.
      i) Waymouth Bible (1903)
      ii) Goodspeed X Smith (1923-1926)
      iii) Moffatt Bible (1924-1926)
      iv) Philips Bible (1947)

Perlu diambil perhatian bahawa setiap terjemahan Bible akan mengandungi unsur-unsur tafsiran dan pembaharuan, yang membawa perubahan kepada makna asal.

Perlu juga diambil perhatian bahawa Good News Bible telah diterjemah ke dalam bahasa Melayu / Indonesia, dan juga oleh 'The Bible Society of Malaysia', Damansara Kim, Petaling Jaya. Alkitab ialah Bible yang digunakan secara meluas di Malaysia dan Indonesia serta oleh Sidang Injil Borneo (SIB). Bible ini banyak menggunakan istilah-istilah Islam seperti Allah, Wahyu, Firman, dan Rasul.

To Be Continue......
InsyaALLAH

Tuesday, May 22, 2012

Pengenalan Kitab Wahyu


 Takrifan


Kamus, "Dictionary of Islam" oleh Hughes T.P. (1885) mentakrifkan wahyu (wahy) sebagai inspirasi ilahiyah (divine inspiration). Takrifan ini sangat longgar. Kepada umat Islam wahyu adalah firman Allah (s.w.t) yang diturunkan kepada seseorang rasul untuk panduan hidup manusia bagi menuju kejalan Allah, iaitu jalan yang selamat didunia dan akhirat. Mungkin ada juga ilham dari Allah (s.w.t) yang datang sebagai "divine inspiration" kepada seseorang Nabi untuk amalannya sendiri kerana dia bukan seorang rasul. Inspirasi ini tidak terkumpul sebagai kitab wahyu. Segala wahyu atau inspirasi yang datang dari Allah mestilah menyeru manusia kepada Tauhid, iaitu menyembah Allah Yang Maha Esa dan tiada sekutu bagiNya, dan menyeru manusia kepada kebaikan dan menjauhi kejahatan sebagai mematuhi segala perintahNya.

Wahyu dalam konteks agama Islam adalah kata-kata Allah (firman) yang turun kepada seseorang rasul untuk peringatan (admonition) dan panduan hidup manusia. Apabila diturunkan kepada seseorang rasul, firman itu mengambil bentuk bahasa yang mudah difahami oleh ummah yang berkenaan. Wahyu mengandungi mukjizat dengan makna yang amat luas. Lantaran itu Islam tidak mengiktiraf sebarang terjemahan sebagai wahyu; yang diperakui sebagai wahyu hanya dalam bentuk yang asli, tanpa dicemari oleh manusia dari segi bahasanya, maknanya, susunannya dan jumlah surahnya. Kitab wahyu tidak boleh diubah walau satu huruf pun, atas apa juga alasan. Dari segi pendirian ini maka kajian ini dilakukan keatas kitab-kitab yang dikatakan kitab wahyu iaitu Taurat, Zabur dan Injil, bersama-sama kitab Al-Qur'an.


Walaupun kitab Gospel Barnabas ini selari dengan Al-Quran tetapi ia tidak boleh di istilahkan sebagai kitab wahyu ataupun Injil (Injeel) dari Tuhan kerana ianya hanyalah riwayat Nabi Isa (a.s) dan kata-kata dari baginda

Firman Mengenai Kitab-kitab Wahyu Dalam Al-Qur'an

Selain dari Al-Qur'an, umat Islam dikehendaki juga percaya tentang kebenaran semua wahyu yang pernah diturunkan kepada rasul sebelum kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. Mempercayai kitab-kitab ini adalah salah satu dari rukun Iman. Tiga dari kitab-kitab ini namanya disebut dalam Al-Qur'an iaitu:-
  • Taurat (Turoh) yang diturunkan kepada Nabi Musa (a.s)
  • Zabur (Zaboor) yang diturunkan kepada Nabi Daud (a.s)
  • Injil (Injeel) yang diturunkan kepada Nabi Isa al-Maseh (a.s)
Diantara ayat-ayat dalam Al-Qur'an yang membenarkan kitab-kitab ini adalah sebagai berikut sekira maksudnya :-
"Dia (Allah) menurunkan Al-Kitab (Qur'an) kepada mu (Muhammad) dengan sebenarnya, membenarkan kitab-kitab yang telah diturunkan sebelumnya dan menurunkan Taurat dan Injil".
(Al-Imran 3:3) 

"Sesungguhnya kami (ALLAH) telah mewahyukan kepada engkau (Muhammad) sebagaimana kami (ALLAH) telah mewahyukan kepada Nabi Nuh dan nabi-nabi kemudiannya. Kami (ALLAH) telah mewahyukan kepada Ibrahim, Ismail, Ishak, Ya'qub dan anak-anaknya. Begitu pun kepada Isa, Ayub, Yunus, Harun, dan Sulaiman. Kami berikan kitab Zabur kepada Daud".
 (Bani-Israil 17:55)

Lantaran terdapat kenyataan dalam Al-Qur'an yang memperakui kebenaran kitab-kitab Taurat, Zabur dan Injil, maka timbullah seruan dari pihak pendakyah Kristian supaya umat Islam memperakui kitab "Bible" menjadi pegangan penganut agama Kristian hari ini, kerana didalam "Bible" itu kononnya dimuatkan juga Taurat dan Injil. Saranan ini jika diterima akan sekaligus memperakui juga kepercayaan mengenai ketuhanan Yesus Kristus, sebagai satu uknun dalam Triniti, dan konsep penebusan dosa warisan melalui keseksaan Jesus Kristus di atas tiang salib sebagai penyelamat kepada manusia, kerana kepercayaan ini ada 'terkandung' di dalam Bible.

Perlu ditegaskan bahawa Al-Qur'an hanya memperakui kitab-kitab Taurat, Zabur dan Injil yang asal yang bersih dari cemaran manusia. Kitab-kitab asal ini tidak lagi wujud hari ini, walaupun pelbagai pihak cuba menonjolkan bahawa himpunan kitab dalam Bible adalah berasal dari wahyu. Pada hakikatnya kitab-kitab ini adalah karangan mengenai riwayat keagamaan atas nama kitab wahyu , atau campuran antara sumber wahyu dengan tafsiran dan sisipan. Maka oleh itu umat Islam tidak lagi dikehendaki memperakui kitab-kitab ini sebagai wahyu. Bagi orang Yahudi mereka sudah mengutamakan kitab Thalmud yang dianggap sebagai pembaharuan ke atas kitab Taurat, dan orang Yahudi juga tidak memperakui semua kitab dalam Bible sebagai kitab wahyu. Hakikat mengenai cemaran atas kitab-kitab suci Taurat, Zabur dan Injil ini ada dijelaskan oleh Allah dalam Al-Qur'an, sekiranya maksudnya adalah sebagai berikut:-

"Hai Ahlil Kitab (Bani Israil dan Kristian) mengapa kamu campuradukkan yang hak dengan yang batil, dan menyembunyikan kebenaran, pada hal kamu mengetahui?"
(Al-Imran 3:78)

"(Tetapi) kerana mereka melanggar janji-janji mereka, maka kami (ALLAH) kutuk mereka, dan kami (ALLAH) jadikan hati mereka keras membatu; mereka suka merubah perkataan Allah dari tempat-tempatnya, dan mereka (sengaja) melupakan sebahagian dari apa senantiasa akan melihat pengkhianatan dari mereka kecuali sedikit diantara mereka (yang tidak khianat), maka maafkanlah mereka (ini) dan biarkan mereka, sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik."
(Al-Maidah 5:13)

Ayat-ayat di atas jelas memberi peringatan kepada umat Islam supaya dapat membezakan antara kitab-kitab yang asal yang pernah diturunkan kepada Nabi Musa (a.s), Nabi Daud (a.s) dan Nabi Isa (a.s) dengan kitab-kitab yang telah diubahsuai atas nama Taurat, Zabur dan Injil. Kitab-kitab yang asal itu kesemuanya menegakkan Tauhid, menyeru manusia supaya menyembah Allah Yang Maha Esa dan taat kepada hukum-hukumNya, mengikut syariat yang tidak jauh beza dengan syariat Nabi Muhammad (s.a.w).