Tuesday, May 22, 2012

Pengenalan Kitab Wahyu


 Takrifan


Kamus, "Dictionary of Islam" oleh Hughes T.P. (1885) mentakrifkan wahyu (wahy) sebagai inspirasi ilahiyah (divine inspiration). Takrifan ini sangat longgar. Kepada umat Islam wahyu adalah firman Allah (s.w.t) yang diturunkan kepada seseorang rasul untuk panduan hidup manusia bagi menuju kejalan Allah, iaitu jalan yang selamat didunia dan akhirat. Mungkin ada juga ilham dari Allah (s.w.t) yang datang sebagai "divine inspiration" kepada seseorang Nabi untuk amalannya sendiri kerana dia bukan seorang rasul. Inspirasi ini tidak terkumpul sebagai kitab wahyu. Segala wahyu atau inspirasi yang datang dari Allah mestilah menyeru manusia kepada Tauhid, iaitu menyembah Allah Yang Maha Esa dan tiada sekutu bagiNya, dan menyeru manusia kepada kebaikan dan menjauhi kejahatan sebagai mematuhi segala perintahNya.

Wahyu dalam konteks agama Islam adalah kata-kata Allah (firman) yang turun kepada seseorang rasul untuk peringatan (admonition) dan panduan hidup manusia. Apabila diturunkan kepada seseorang rasul, firman itu mengambil bentuk bahasa yang mudah difahami oleh ummah yang berkenaan. Wahyu mengandungi mukjizat dengan makna yang amat luas. Lantaran itu Islam tidak mengiktiraf sebarang terjemahan sebagai wahyu; yang diperakui sebagai wahyu hanya dalam bentuk yang asli, tanpa dicemari oleh manusia dari segi bahasanya, maknanya, susunannya dan jumlah surahnya. Kitab wahyu tidak boleh diubah walau satu huruf pun, atas apa juga alasan. Dari segi pendirian ini maka kajian ini dilakukan keatas kitab-kitab yang dikatakan kitab wahyu iaitu Taurat, Zabur dan Injil, bersama-sama kitab Al-Qur'an.


Walaupun kitab Gospel Barnabas ini selari dengan Al-Quran tetapi ia tidak boleh di istilahkan sebagai kitab wahyu ataupun Injil (Injeel) dari Tuhan kerana ianya hanyalah riwayat Nabi Isa (a.s) dan kata-kata dari baginda

Firman Mengenai Kitab-kitab Wahyu Dalam Al-Qur'an

Selain dari Al-Qur'an, umat Islam dikehendaki juga percaya tentang kebenaran semua wahyu yang pernah diturunkan kepada rasul sebelum kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. Mempercayai kitab-kitab ini adalah salah satu dari rukun Iman. Tiga dari kitab-kitab ini namanya disebut dalam Al-Qur'an iaitu:-
  • Taurat (Turoh) yang diturunkan kepada Nabi Musa (a.s)
  • Zabur (Zaboor) yang diturunkan kepada Nabi Daud (a.s)
  • Injil (Injeel) yang diturunkan kepada Nabi Isa al-Maseh (a.s)
Diantara ayat-ayat dalam Al-Qur'an yang membenarkan kitab-kitab ini adalah sebagai berikut sekira maksudnya :-
"Dia (Allah) menurunkan Al-Kitab (Qur'an) kepada mu (Muhammad) dengan sebenarnya, membenarkan kitab-kitab yang telah diturunkan sebelumnya dan menurunkan Taurat dan Injil".
(Al-Imran 3:3) 

"Sesungguhnya kami (ALLAH) telah mewahyukan kepada engkau (Muhammad) sebagaimana kami (ALLAH) telah mewahyukan kepada Nabi Nuh dan nabi-nabi kemudiannya. Kami (ALLAH) telah mewahyukan kepada Ibrahim, Ismail, Ishak, Ya'qub dan anak-anaknya. Begitu pun kepada Isa, Ayub, Yunus, Harun, dan Sulaiman. Kami berikan kitab Zabur kepada Daud".
 (Bani-Israil 17:55)

Lantaran terdapat kenyataan dalam Al-Qur'an yang memperakui kebenaran kitab-kitab Taurat, Zabur dan Injil, maka timbullah seruan dari pihak pendakyah Kristian supaya umat Islam memperakui kitab "Bible" menjadi pegangan penganut agama Kristian hari ini, kerana didalam "Bible" itu kononnya dimuatkan juga Taurat dan Injil. Saranan ini jika diterima akan sekaligus memperakui juga kepercayaan mengenai ketuhanan Yesus Kristus, sebagai satu uknun dalam Triniti, dan konsep penebusan dosa warisan melalui keseksaan Jesus Kristus di atas tiang salib sebagai penyelamat kepada manusia, kerana kepercayaan ini ada 'terkandung' di dalam Bible.

Perlu ditegaskan bahawa Al-Qur'an hanya memperakui kitab-kitab Taurat, Zabur dan Injil yang asal yang bersih dari cemaran manusia. Kitab-kitab asal ini tidak lagi wujud hari ini, walaupun pelbagai pihak cuba menonjolkan bahawa himpunan kitab dalam Bible adalah berasal dari wahyu. Pada hakikatnya kitab-kitab ini adalah karangan mengenai riwayat keagamaan atas nama kitab wahyu , atau campuran antara sumber wahyu dengan tafsiran dan sisipan. Maka oleh itu umat Islam tidak lagi dikehendaki memperakui kitab-kitab ini sebagai wahyu. Bagi orang Yahudi mereka sudah mengutamakan kitab Thalmud yang dianggap sebagai pembaharuan ke atas kitab Taurat, dan orang Yahudi juga tidak memperakui semua kitab dalam Bible sebagai kitab wahyu. Hakikat mengenai cemaran atas kitab-kitab suci Taurat, Zabur dan Injil ini ada dijelaskan oleh Allah dalam Al-Qur'an, sekiranya maksudnya adalah sebagai berikut:-

"Hai Ahlil Kitab (Bani Israil dan Kristian) mengapa kamu campuradukkan yang hak dengan yang batil, dan menyembunyikan kebenaran, pada hal kamu mengetahui?"
(Al-Imran 3:78)

"(Tetapi) kerana mereka melanggar janji-janji mereka, maka kami (ALLAH) kutuk mereka, dan kami (ALLAH) jadikan hati mereka keras membatu; mereka suka merubah perkataan Allah dari tempat-tempatnya, dan mereka (sengaja) melupakan sebahagian dari apa senantiasa akan melihat pengkhianatan dari mereka kecuali sedikit diantara mereka (yang tidak khianat), maka maafkanlah mereka (ini) dan biarkan mereka, sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik."
(Al-Maidah 5:13)

Ayat-ayat di atas jelas memberi peringatan kepada umat Islam supaya dapat membezakan antara kitab-kitab yang asal yang pernah diturunkan kepada Nabi Musa (a.s), Nabi Daud (a.s) dan Nabi Isa (a.s) dengan kitab-kitab yang telah diubahsuai atas nama Taurat, Zabur dan Injil. Kitab-kitab yang asal itu kesemuanya menegakkan Tauhid, menyeru manusia supaya menyembah Allah Yang Maha Esa dan taat kepada hukum-hukumNya, mengikut syariat yang tidak jauh beza dengan syariat Nabi Muhammad (s.a.w).